Perjalananku Menuju Atheist
12:40 AMMaaf semua kerana sudah lama tidak menulis... Sekejap muncul sekejap hilang, itulah adat resam seorang manusia.. tambah tambah penulis dan admin blog ini sebagai seorang pelajar dan bakal menghadapi peperiksaan yang penting bulan Mei ini...
Saya sebagai Rikudou Saiyan, pada hari ini ingin berkongsi lebih mendalam tentang kehidupan saya kepada para pembaca... Moga moga Allah memberi hidayah dan pedoman buat yang membaca mahupun yang terbaca daripada kisah yang bakal saya kongsikan ini.. Seiring dengan perletakan jawatan MB Kedah, Dato' Mukhriz Mahathir pada hari ini dan pelbagai lagi pergolakan yang berlaku dalam negara ini terutamanya isu-isu berkaitan ekonomi negara sangat membimbangkan.. bukan ingin membela kerajaan yang memerintah pada hari ini, cuma penulis ingin pembaca memikirkan bahawa segala yang berlaku pada hari ini, mustahil hanya sia-sia dan berbaur keburukan sesetengah pihak semata-mata..
Ya, sememangnya kita hidup sekarang semakin susah dengan harga barangnya, kejatuhan harga minyak dunia, peperangan sana-sini, namun pernah kah kita terfikir bahawa pada suatu masa nanti kita akan berasa bersyukur dengan kesusahan yang kita lalui sekarang?? Pernahkah kita terfikir bahawa Allah SWT sedang memberi kita suatu pelajaran dan sedang memberi hikmah akan kesulitan yang kita lalui ini? Islam mengajar kita supaya yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku tiada kebetulan dan pasti ada hikmahnya yang sudahpun tertulis di Luh Mahfudz..
Sekali lagi penulis ingin sekali menegaskan bahawa artikel ini bukan berbaur politik dan bertindak sebagai agen menjernihkan suasana serta mengandungi elemen halus menyokong kerajaan yang sedia ada... bahkan tidak sama sekali.. Dalam Islam, yang zalim harus ditentang, yang adil mengikut Islam wajib ditegakkan oleh semua manusia tanpa mengira dia masih pelajar sekolah atau mahasiswa.. kerana wajib ke atas setiap individu muslim yang sudah akil baligh memperjuangkan syariat Islam tanpa sebarang alasan bagi membenarkan lafaz syahadah yang diucapkan,,, Tunduk dan tidak bertindak menentang kezaliman adalah bukti diri kita redha dan bersetuju dengan kezaliman yang wujud pada zaman ini..
Namun pada hari ini, ingin penulis untuk menegur sikap sesetengah pihak yang mempersoalkan keadilan Allah yang Maha Esa dan norma masyarakat yang hanya mahu menyalahkan takdir atas apa jua yang berlaku tanpa memikirkan hikmah di sebalik setiap dugaan mahupun nikmat yang Allah kurniakan kerana yakinlah dalam diri bahawa seekor lalat yang hinggap di pipi kita juga mengandungi 1001 hikmah yang dicaturkan Allah tanpa kita sedari... Setiap yang berlaku tiadalah hanya sia-sia...
Panjang muqaddimah yang diberi, hanya Allah jualah yang mampu memberi hidayah... Penulis telah menyedari hakikat suka duka kehidupan yang mengandungi jutaan hikmah seawal berumur belasan tahun iaitu ketika penulis berada di sebuah sekolah berasrama penuh... penulis berasal daripada sebuah keluarga yang memperoleh didikan agama yang lengkap daripada kecil kerana ibu bapa merupakan hamba Allah yang soleh dan solehah.. Mereka juga bergelar ustaz dan ustazah kerana mengajar ilmu Islam yang hebat ini kepada ratusan pelajar... Namun, bukan untuk mengatakan bahawa didikan dan asuhan yang diberikan oleh mereka tidak sempurna, tidak, bahkan ilmu yang diamalkan dari dulu sehingga sekarang hasil daripada asuhan mereka..
Penulis membesar ke usia awal remaja dengan tidak mengenali Tuhan sendiri.. bahkan dalam hati ketika itu, boleh dikatakan tidak meyakini wujudnya Allah sebagai Pencipta dan merasakan konsep ketuhanan hanyalah ciptaan manusia semata mata...walaupun demikian, penulis tetap beramal dan beribadat dengan bersungguh-sungguh malah melebihi sahabat-sahabat kerana pertama sekali, ingin meraih pujian daripada manusia sekeliling.. tetapi pada masa yang sama, jauh di sudut hati ini, masih memaksa diri untuk terus percaya akan kewujudan Allah yang Maha Mulia dengan sebenar-benar percaya bukan hanya sebuah 'assumption'.. Malu untuk penulis akui, tetapi ketika itulah penulis telah menjadi atheist bertopengkan jasad muslim.. perasaan bercampur baur, cemburu melihat orang beramal dengan penuh keyakinan akan kewujudan Allah kerana perasaan tersebut tak mampu wujud dalam hati.. Malu dan bersalah dengan ibu bapa kerana iman mereka tidak dapat ku warisi...
Setiap kali penulis cuba mewujudkan keyakinan akan kewujudan Tuhan pasti bisikan kecil yang jahat dan menyuntik keraguan akan kedengaran mematahkan hujah kewujudan Tuhan.. hari demi hari, dilema itu semakin terbina kukuh, keraguan semakin memuncak... walaupun begitu, usaha untuk menjejak keyakinan tersebut tidak pernah dihentikan... sentiasa penulis bermonolog sendirian, memarahi Tuhan dengan mengatakan, "jika Engkau wujud, mengapa Engkau membiar aku terus ragu, kenapa seringkali hujah utk meyakini Mu dipintas oleh gerak hati sendiri.. adakah Engkau mahu aku ke neraka?".. Maka, setiap hari, penulis berdoa walaupun tidak percaya, seolah olah memerli supaya diberikan bukti yang mampu mententeramkan hati, yang zahir di mata kasar seorang manusia..
Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya walaupun hamba itu menentang dan tidak mempercayaiNya.. bukti demi bukti diperlihatkan kepada penulis.. penulis mencari bukti keajaiban Tuhan di internet, melihat gambar-gambar di seluruh pelosok dunia tentang kebesaran Allah.. kerana kejahilan dan kedegilan aku pada ketika itu, aku mengatakan semua gambar tersebut hasil 'edit' oleh pihak tertentu walaupun sebenarnya mustahil untuk meng'edit' gambar sebegitu... usaha tidak berhenti ketika itu sahaja, penulis menghadiri sebuah majlis Ilmu yang disampaikan oleh seorang cendekiawan Islam, Dr Danial Zainal Abidin yang menceritakan bukti kebenaran Al-Quran melalui sains.. walaupun terang-terangan dibuktikan melalui ayat Al-Quran, namun hati tetap tidak dapat menerima dengan mengatakan ilmu tersebut dicedok daripada tamadun greek dan yunani.. Allah memberikan bukti secara zahir sebanyak 3 kali, penulis melihat kalimah Allah tertulis di langit sebanyak dua kali dan melihat ikan yang sisiknya membentuk kalimah Allah dengan mata sendiri, namun penulis tetap menolak...
Pada suatu hari, sedang penulis membelek belek Al-Quran, penulis terjumpa ayat yang agung yang menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran Allah berada di sekeliling termasuk pada diri sendiri.. dan Allah berfirman bahawa tanda tersebut hanya dapat disedari oleh orang yang berfikir..penulis tersentap, adakah selama ini aku tidak pernah berfikir... lalu penulis terlihat bentuk jari-jari penulis yang membentuk kalimah Allah dalam bahasa Arab, dalam masa yang sama, teringat segala bukti yang dizahirkan Allah sebelum ini merupakan kalimah yang sama dan juga berbahasa arab di seluruh pelosok dunia membuktikan kebenaran bahawa Allah ialah Pencipta yang Maha Esa.. penemuan penemuan sains yang dibuktikan oleh AlQuran terus diyakini oleh penulis atas dua perkara yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran.. pertama, jika Allah bukan Tuhan, bagaimana terbentuknya kalimah Allah pada kebanyakan tempat, malah di tangan sendiri dan penemuan-penemuan sains itu diceritakan oleh nabi yang ummi dengan Al-Quran.. keduanya, jika ada tuhan lain selain Allah, bagaimana dia boleh membiarkan kalimah Allah tertulis pada ciptaannya..sungguh pada ketika itu,penulis terfikir bahawa kalimah Allah yang terbentuk di mana- mana mustahil kebetulan.. pada saat itu lah, timbulnya keyakinan yang kukuh terhadap kebenaran Islam sehingga sekarang,,, moga-moga kekal sehingga syurga.. In shaa Allah..
Pelbagai pengajaran yang boleh dipetik daripada kisah ini, namun ketika itu penulis masih belum mendapat jawapan mengapa Allah meletakkan penulis dalam keadaan atheist selama beberapa tahun.. sudah pasti pada akal seorang manusia, tidak nampak hikmah di sebalik takdir ini..sudah pasti bukan satu perkara yang menyeronokkan meragui kewujudan Tuhan dan kerisauan sentiasa muncul tentang penerimaan Allah terhadap amal ibadat penulis sepanjang menghadapi ujian tersebut..
Jadi, kembali kepada tujuan asal penulisan ini dan muqaddimah yang panjang pada awal tadi, setelah penulis melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej persediaan yang penuh dengan manusia yang tenat.. penulis berjumpa dengan ramai lagi orang islam seperti penulis dahulu di kolej ini.. yang sudah hampir tidak mempercayai Allah lagi walaupun mengaku beragama Islam.. pada masa ini lah, penulis menyedari akan hikmah mengapa Allah meletakkan diri ini pada keadaan sedemikian pada sewaktu ketika dahulu.. Perancangan Allah tersangat hebat dan menjangkaui fikiran kita sebagai seorang makhluk.. Allahurabbi.. rupa-rupanya, Allah telah mempersiapkan penulis bagi menyedarkan pula orang Islam yang tidak lagi mempercayaiNya kerana dengan pengalaman penulis mengalami keadaan atheist, penulis lebih tahu bagaimana untuk memberi dakwah dan peringatan kepada golongan tersebut.. Terima kasih Allah kerana memilihku untuk melakukan kerja mulia ini iaitu menyedarkan dan meyakinkan manusia akan kewujudan Mu...
Lihatlah wahai pembaca sekalian, sebenarnya seburuk mana perkara yang berlaku dalam hidup kita, adalah tarbiah daripada Allah SWT.. Allah tidak menetapkan sesuatu dengan sengaja melainkan mengandungi kebaikan buat diri kita... perkara buruk yang berlaku pun kita akan syukuri kerana Allah mentakdirkan itu berlaku, inikan pula dugaan Allah berbentuk amanah yang berat dan tohmahan manusia ketika kita melakukan dakwah.. pada konteks zaman sekarang, susah payah kita untuk terus menjalani kehidupan sebagai pelajar dan rakyat.. pasti suatu hari nanti, akan kita syukuri kerana Allah membiarkan kita hidup di zaman ini,, Hebatnya Allah... :)
- RIKUDOU SAIYAN -
0 Comments